Darabkan Sejuta


Berapa besar nilainya, PrettyUgly anggap besar lagi sokongan berterusan peminat
BERAPA nilai penghargaan PrettyUgly kepada peminat yang banyak menyokong mereka untuk bertahan dalam pentas muzik?

Mungkin tidak ada jawapannya kerana nilai itu terlalu tinggi. Namun, untuk menggambarkan berapa besarnya nilai itu, PrettyUgly meminta peminat Darabkan Sejuta.
Perkataan Darabkan Sejuta itu juga menjadi tajuk untuk album keempat kumpulan ini selepas hampir dua tahun menyepikan diri. Selama dua tahun sepi tanpa album atau lagu baru tetapi peminat tetap memberi sokongan dan galakan.

Itu semua dianggap sebagai sokongan besar kepada PrettyUgly yang dianggotai empat lelaki ini untuk menggilap semula nama mereka yang agak pudar.

Album yang berimejkan simbol darab itu memuatkan lapan lagu termasuk single yang sering menjadi siulan, Itu Bukan Aku serta lagu Kelab Jiwa Muzik yang kini sudah sering dimainkan di radio walaupun sebelum album Darabkan Sejuta belum dipasarkan.

Lagu lain dalam album terbaru PrettyUgly ialah Takut Aku Kalah, Bunuh Kisah Lalumu, Di Awan Biru, Adihero, Darabkan Sejuta dan Club Jiwa Muzik (remix DJFendo) dengan kebanyakannya berirama rock moden album sebelum ini yang lebih kepada konsep indie.
Malah, kesemua lagu yang dimuatkan dalam album itu dicipta sendiri anggota PrettyUgly yang terdiri daripada Raizan Zainal Abidin atau dikenali sebagai Neves (vokalis/ ukelele/ keyboard), Mohammad Raziz Zainal Abidin atau J (gitar utama), Nik Muhammad Histami Nik Mohammad atau Nett (drum) dan Ikhwan Aswab Rawyani atau Juad (bass).

“Bukan nak lambat-lambatkan album ini tetapi kami menghadapi macam-masam masalah. Saya dan J kehilangan bapa pada tahun 2009, manakala J pula kehilangan isteri tercinta selepas itu.

“Nak cipta lagu bukan mudah. Kena beri sepenuh perhatian dan betul-betul fokus. Jadi apabila masih-masing ada masalah, kami tidak boleh memberi tumpuan untuk menghasilkan album dan saya rasa sekarang adalah masa yang sesuai untuk album ini keluar,” kata Neves.

Album yang sudah berada di pasaran sejak Disember lalu itu dijangka mendapat sambutan kerana perubahan dari segi melodi lagu-lagu yang dimuatkan bagi memberi imej baru pada PrettyUgly.

Bahkan, lagu berbentuk jazz seperti Bunuh Kisah Lalu Mu dan Darabkan Sejuta menjadi taruhan PrettyUgly yang dijangka hit dan mendapat sambutan peminat, malah mampu menyaingi lagu hit mereka sebelum ini, Diari Seorang Lelaki.

“Lagu-lagu kali ini lebih komersial berbanding lagu dalam album sebelum ini serta lebih kepada isu semasa dengan lirik yang mudah difahami. Kami sudah 10 tahun dalam muzik jadi tidak mahu mengekalkan imej indie dengan muzik yang sama.

“Jadi kami buat perubahan dengan harapan peminat dapat terima lagu-lagu baru yang kami bawakan,” katanya.

Meskipun album terakhir mereka dikeluarkan lima tahun lalu, namun PrettyUgly meletakkan harapan pada album ini agar mendapat tempat di hati peminat serta lagu-lagu mereka menjadi siulan seperti lagu sebelum ini.
 more info:-http://www.bharian.com.my/bharian/articles/DarabkanSejuta/Article

Leave a Reply